Monday, April 9, 2012

belajar secara berkumpulan

Dalam usaha untuk mencapai kejayaan dalam peperiksaan, pelbagai kaedah belajar boleh diamalkan. Salah satu teknik belajar yang sering digunakan ialah belajar secara berkumpulan terutama dengan rakan-rakan yang rapat. Sebenarnya, teknik belajar seperti ini memang memiliki banyak kelebihannya.

Impak positif yang pertama ialah teknik belajar ini menggunakan kaedah perbincangan yang menarik. Kita semua sedia maklum bahawa menerusi perbincanganlah pelbagai idea dan jawapan terhadap sesuatu masalah pelajaran itu dapat dikemukakan. Pada masa yang sama teknik belajar ini mengajar pelajar konsep bertolak ansur yakni menerima pendapat orang lain.

Selain itu, teknik belajar ini menjadikan proses ulang kaji lebih cepat dan tersusun. Semua ahli kumpulan akan diberi tugasan tertentu berdasarkan bab subjek, ramalan soalan atau kemungkinan mencari soalan-soalan lama untuk dibincangkan bersama-sama. Tindakan ini menjadikan masa belajar pelajar lebih pantas tetapi berkesan kerana mencakupi semua aspek kemungkinan soalan peperiksaan.

Malah, konsep belajar berkumpulan ini dapat memupuk semangat bekerjasama yang penting itu. Kerjasama merupakan satu konsep yang amat dipentingkan di negara ini dan sudah pasti konsep ini mampu dikekalkan menerusi amalan belajar secara berkumpulan. Amalan ini kemudiannya akan terus tertanam di sanubari pelajar dengan begitu mudah sehinggalah mereka dewasa.

Kesimpulannya, belajar boleh dijalankan dengan pelbagai cara tetapi pelajar harus memilih kaedah yang paling sesuai dengan diri mereka. Kejayaan teknik belajar secara berkumpulan juga banyak bergantung kepada kerjasama yang ditunjukkan oleh setiap ahli dalam kumpulan tersebut. Sesungguhnya, pelajaran amat penting dalam kehidupan seseorang pelajar itu.

-ZAILIKA FAZLYNN-

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.